08/02/2026
Tahniah Sarawak 🫡
Premier rasmi Menara AFFIN di TRX, pusat operasi perbankan moden
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Ahad) — Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg semalam merasmikan pelancaran Menara AFFIN, ibu pejabat baharu AFFIN Bank Berhad di Tun Razak Exchange (TRX), yang disifatkan sebagai platform operasi penting untuk memperkukuh penyelarasan, pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan dalam persekitaran global yang pantas berubah.
Berucap pada majlis pelancaran di sini, Abang Johari berkata penubuhan ibu pejabat baharu itu mencerminkan bagaimana institusi kewangan moden meletakkan keutamaan terhadap pengukuhan organisasi, kecekapan membuat keputusan dan standard pelaksanaan yang lebih tinggi.
“Ibu pejabat bukan sekadar alamat. Ia satu pernyataan niat tentang bagaimana institusi kewangan memilih untuk menyusun organisasi, menaik taraf sistem dan berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik,” kata Abang Johari, sambil menekankan keperluan kepada perubahan yang lebih besar melalui sistem dipertingkat dan pelaksanaan yang lebih tajam agar institusi bersedia “melompat lebih jauh” apabila keadaan menuntut.
Beliau berkata landskap global kini semakin dibentuk oleh gangguan teknologi, peralihan geopolitik, tekanan kos, realiti iklim serta persaingan sengit mendapatkan bakat, justeru institusi perlu bergerak melangkaui penambahbaikan kecil kepada pembinaan sistem lebih kukuh, keputusan lebih pantas dan tahap pelaksanaan lebih tinggi.
Abang Johari berkata Menara AFFIN bukan hanya alamat fizikal, sebaliknya hab pusat operasi yang menetapkan standard, memperkukuh koordinasi dan memelihara kepercayaan, selain menggabungkan operasi kumpulan daripada tiga bangunan kepada satu lokasi bagi meningkatkan penyelarasan merentas keupayaan perbankan komersial, perbankan Islam dan pelaburan.
“Dengan hampir 3,000 kakitangan serta kelengkapan tertumpu di sini, ini adalah keupayaan di satu tempat. Tanggungjawabnya ialah menterjemahkan keupayaan itu kepada prestasi yang benar benar dapat dirasai pelanggan dan perniagaan setiap hari,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan institusi perbankan moden perlu berpaksikan tiga teras utama iaitu kecekapan pelanggan, integriti institusi dan capaian ekonomi supaya perkhidmatan kewangan kekal pantas, selamat serta inklusif.
Menyentuh kepentingan strategik lokasi, Abang Johari berkata TRX mewakili hab kewangan serantau yang menjadi tumpuan pembentukan modal, perhimpunan bakat serta pembuatan keputusan penting, dan Menara AFFIN memperkukuh kehadiran institusi dalam ekosistem yang menuntut keterhubungan, keupayaan serta keyakinan jangka panjang.
Beliau berkata bangunan itu turut memiliki status bangunan hijau dan status Malaysia Digital, di samping pensijilan GBI Gold serta LEED Gold yang mencerminkan komitmen kepada operasi bertanggungjawab dan cekap.
Pada majlis sama, Abang Johari mengucapkan tahniah kepada AFFIN atas pencapaian terkini termasuk pengesahan penarafan kredit antarabangsa A3 oleh Moody’s, penerbitan sulung bon dolar Amerika Syarikat berjumlah US$300 juta serta peningkatan penarafan FTSE4Good daripada tiga kepada empat bintang, sebelum mengisytiharkan Menara AFFIN dibuka secara rasmi.
Hadir sama Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Politik Kanan kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak Future Fund Abang Rahmat Yusuf, Pengerusi AFFIN Bank Berhad Dato Agil Natt dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah.
——