05/12/2025
Kemeriahan Pertandingan Memancing dan Casting Tertutup, Eratkan Ukhuwah Warga Kampung Padang Air!
Kuala Nerus, 5 Disember 2025 - Kampung Padang Air, Kuala Nerus hari ini atas inisiatif Geng Pemuda Padang Air Cakna berjaya menganjurkan Pertandingan Memancing dan Casting Tertutup Peringkat Kampung Padang Air buat julung kalinya.
Acara yang bermula pada jam 2.30 petang dan berakhir pada pukul 6.00 petang ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, dianggarkan seramai 300 orang warga kampung hadir memeriahkan suasana. Penyertaan juga melibatkan pelbagai lapisan umur, baik lelaki mahupun perempuan.
Tumpuan utama acara ini menyaksikan peserta cilik, Badri Hafiey bin Baharudin yang baru berusia 11 tahun, dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing. Beliau berjaya menewaskan seramai 157 peserta lain dan membawa pulang hadiah utama berupa Joran, Mesin, Wang Tunai, serta alatan memancing.
Kemeriahan pertandingan turut diserikan dengan acara cabutan bertuah, di mana hadiah utama adalah seekor kambing. Semua hadiah, termasuk hadiah cabutan bertuah dan perbelanjaan penganjuran, adalah hasil sumbangan ikhlas daripada orang persendirian serta usahawan Warga Kampung Padang Air.
Penganjuran julung kali ini disambut baik oleh seluruh warga kampung. Menurut Pengerusi Geng Pemuda Padang Air Cakna, Mohd Firdaus Abdullah, matlamat utama penganjuran adalah untuk mengeratkan ukhuwah sesama penduduk kampung serta menggalakkan aktiviti riadhah sesama warga kampung.
"Kami melihat ramai hadir bersama-sama keluarga, berkongsi minat yang sama semasa berada di tapak pertandingan. Cuaca yang baik pada hari ini turut membantu melancarkan perjalanan program," kata beliau.
Mohd Firdaus turut berharap agar program-program seterusnya akan mendapat sokongan dan semangat yang sama dari warga kampung.
Geng Pemuda Padang Air Cakna mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penyumbang serta warga kampung yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung dan tahniah kepada semua pemenang. Semoga bertemu lagi di program akan datang.