29/09/2025
“Dengan Berat Hati…” – Arie Sham Sahkan TKKR RACING TEAM DIBUBARKAN!!!
Dunia perlumbaan tempatan dikejutkan dengan pengumuman rasmi daripada Arie Sham pengasas dan prinsipal pasukan TKKR Racing Team mengenai pembubaran pasukan tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, keputusan ini dibuat selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan kelangsungan pasukan di pentas perlumbaan, termasuk melepaskan aset peribadi bagi menamatkan musim ini. Namun begitu, cabaran kewangan yang dihadapi tetap tidak memungkinkan TKKR untuk meneruskan saingan hingga ke penghujung musim.
“Dengan berat hati, saya ingin memaklumkan bahawa TKKR Racing Team akan dibubarkan secara rasmi. Sejak dari awal, kita semua telah berjuang sepenuh hati untuk memastikan pasukan ini terus berada di pentas perlumbaan. Saya sendiri telah melakukan yang terbaik termasuk melepaskan segala aset yang saya ada demi memastikan kita dapat menamatkan musim ini. Namun begitu, segala usaha tersebut masih tidak mencukupi untuk membawa kita ke pusingan terakhir, kegagalan mendapatkan tajaan berterusan serta cabaran dalam industri kecil ini menjadi punca utama. Saya akui ianya adalah kegagalan saya sendiri,” jelas Arie Sham.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang pernah bersama-sama membina TKKR Racing Team sejak penubuhannya daripada pelumba, mekanik, kru sokongan, hinggalah kepada mereka yang bekerja di belakang tabir.
Sepanjang penglibatan, TKKR Racing Team pernah mencatat pelbagai kejayaan termasuk membawa pelumba Malaysia beraksi di peringkat Asia dan Eropah, selain menjadi antara pasukan yang berjasa dalam mengangkat nama jenama ONEXOX TKKR di arena permotoran sehingga dikenali luas.
“Saya amat menghargai setiap titik peluh, masa, dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh semua ahli pasukan. Tanpa anda semua, perjalanan TKKR tidak mungkin sampai sejauh ini,” tambahnya.
Walaupun perjalanan TKKR Racing Team di litar telah berakhir, Arie Sham menegaskan bahawa semangat perjuangan serta kenangan bersama pasukan itu akan terus hidup dalam diri setiap ahli.
“TKKR mungkin berakhir di atas litar, tetapi keluarga TKKR akan kekal selamanya,” katanya mengakhiri kenyataan.